BAHAYA BILA SISIH AGAMA  

 

 


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  6 -7  surah Loqman :

ومن الناس من يشترى لهو الحديث ليضل عن سبيل الله بغير علم ويتخذها هزوا أولئك لهم عذاب مهين وإذا تتلى عليه ءايـتنا ولى مستكبرا كأن لم يسمعها كأن فى أذنيه وقرا فبشره بعذاب أليم

Maksudnya : Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan yang menyesatkan dirinya dan orang ramai daripada agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang ilmu pengetahuan. Dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai bahan ejekan. Merekalah merupakan orang-orang yang akan menerima azab yang menghinakan. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami lalu berpalinglah dia dengan angkuhnya seolah-olah dia tidak mendengarnya seperti ada penyumbat pada kedua-dua telinganya. Maka sampaikanlah berita kepadanya berkenaan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.

         Islam merupakan agama yang bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia di mana umat Islam yang benar-benar melaksanakan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka bakal lahir sebagai umat yang pertengahan dalam tindak-tanduk mereka di mana umat ini tidak terlalu lembut hingga mudah dipermainkan oleh musuh dan tidak pula terlalu ganas hingga menggugat keamanan orang lain. Kegagalan dalam menghayati cara hidup berdasarkan apa yang telah disarankan oleh Islam di kalangan umat Islam sendiri telah menyebabkan keindahan dan kehebatan Islam gagal ditonjolkan. Sikap kurang yakin dengan sistem Islam di kalangan umat Islam turut menambahkan lagi masalah yang sedia ada sehingga Islam dipandang seperti agama-agama lain yang wujud di dunia ini yang berbentuk amalan dan kepercayaan peribadi yang tiada kaitannya dengan sistem kehidupan yang lebih luas.  Apa yang lebih malang apabila adanya segelintir umat Islam yang sanggup menghina sistem Islam ditambah dengan masalah adanya umat Islam yang tidak lagi sayang kepada Islam sehingga sanggup murtad keluar daripada Islam tanpa rasa bersalah malah merasa begitu bangga kerana berbuat jenayah yang begitu keji itu.

Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:

قال الرسول e  لا يَحِلُّ دَمُ امْرِىءٍ إلا بِإِحْدَى ثَلاثٍ : الثَيِّبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ  وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ المُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

Maksudnya: Tidak halal darah seorang muslim itu melainkan dengan salah suatu daripada tiga perkara : Orang yang telah berkahwin yang berzina, membunuh diri orang lain dan meninggalkan agamanya (murtad) yang memisahkan daripada kaum muslimin

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  217  surah al-Baqarah :

.....ومن يرتدد منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعمالهم فى الدنيا والآخرة وأولئك أصحاب النار هم فيها خـلدون

Maksudnya : …….Dan sesiapa daripada kamu yang murtad daripada agamanya lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir maka gugurlah amalan-amalan mereka di dunia dan akhirat. Dan mereka menjadi ahli neraka yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya

         Kekuatan umat Islam bertunjang daripada aqidah di mana jika aqidah umat Islam runtuh menyebabkan pelbagai masalah lain terutama keruntuhan akhlak akan berlaku dengan lebih meluas tanpa kawalan. Umat Islam  baru sahaja menerima keputusan kes Azlina Jailani atau lebih dikenali dengan nama Lina Joy yang telah lama mengaku murtad bagi memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya di mana permohonannya itu telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan. Kes Lina Joy ini sebenarnya begitu menghina dan menggugat kedudukan umat Islam kerana keputusan ini hanya tidak membenarkan perkataan Islam dibuang daripada kad pengenalan sedangkan Lina Joy yang murtad tidak diambil apa-apa tindakan sewajarnya. Malah baru-baru ini ada seorang pelajar Universiti yang mengaku melalui laman blog dalam internet bahawa dia telah keluar daripada Islam kerana tidak dapat menerima beberapa hukum dalam Islam dan kini berkeadaan tiada agama. Oleh itu, kita mendesak agar kerajaan dapat menggubal undang-undang murtad bagi menangani masalah ini yang semakin serius. Kita begitu bimbang bila mendengar alasan pemimpin yang berkata bahawa masalah murtad ialah suatu masalah kecil berbanding masalah ekonomi yang lebih penting. Jika masalah aqidah ini dipandang ringan maka nasib Islam dan umat Islam semakin lama semakin parah dalam negara sendiri. Jenayah murtad adalah antara jenayah yang paling bahaya sehingga diminta supaya dihukum bunuh mereka yang terlibat dengan jenayah ini setelah enggan bertaubat sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas :

قال الرسول e : مَنْ بَدَّلَ دِيْنَهُ فَاقْتُلُوْهُ

Maksudnya: Sesiapa yang menukarkan agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Firman Allah dalam  ayat 71 surah al-Mukminun:

ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu

         Bila aqidah telah rosak maka keadaan akhlak semakin parah terutama kita berasa terhina dan malu apabila umat Islam sendiri ramai yang membiarkan anak-anak mereka bekerja di pusat judi, rumah urut dan premis arak. Begitu juga dengan tindakan pihak pengurusan akhbar berbahasa Melayu seperti Berita Harian, Utusan Malaysia dan Metro yang tanpa segan silu menyiarkan iklan nombor ekor dan judi di mana ada akhbar melayu yang dijangka mendapat RM 1.14 juta setahun daripada hasil iklan judi. Umat yang jahil dan tidak mengamalkan cara hidup Islam tidak memandang berat masalah halal haram, dosa pahala, syurga neraka asalkan duit masuk dan nafsu seronok. Dunia dikejar akhirat ditinggal, nafsu dijulang agama dibuang

         Kita juga bimbang dengan suatu kajian yang mendapati secara purata 46 peratus remaja negara ini terlibat dengan zina atau 35 orang remaja setiap hari terlibat dengan jenayah zina. Berdasarkan statistik daripada 430 000 bayi yang dilahirkan setiap tahun, seramai 13 500 orang daripadanya dilahirkan oleh golongan remaja berumur 15 hingga 19 tahun. Antara punca utama kepada berlakunya penzinaan sehingga meningkatnya pembuangan bayi di kalangan remaja adalah hasil pendedahan konsert hiburan, pergaulan bebas, arak, disko serta program yang merosakkan daripada media cetak dan elektronik disamping institusi keluarga yang musnah. Kita semakin gerun apabila kadar jenayah yang semakin meningkat ketika negara baru mahu menyambut 50 tahun merdeka di mana dari tahun 2000 hingga 2006  jumlah dari sekecil-kecil jenayah sehingga sebesar-besar jenayah berjumlah 150 ribu hingga 200  ribu kes setahun. Sedangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam suatu kajiannya memperakui peranan agama dalam menangani masalah sosial apabila statistik menunjukkan pelajar agama dan keluarga yang faham serta amal agama lebih rendah terlibat dengan masalah sosial berbanding pelajar yang tidak belajar agama dan keluarga yang jahil agama. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkatkan kefahaman agama dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian barulah kita selamat di dunia dan akhirat.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

         Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini juga maka kita mendesak agar Kerajaan Thailand memberi hak yang sepatutnya kepada umat Islam terutama di Selatan negara itu. Kita juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bacul yahudi Israel yang terus membunuh umat Islam di Palestin disamping terus berusaha dalam meruntuhkan masjid Aqsa. Zionis yahudi sepatutnya ingat bagaimana keadaan yahudi sebelum ini yang ditindas dan dihina sepanjang berada di bumi Eropah termasuk dibunuh oleh tentera Nazi Jerman. Yahudi mula merasai nikmat keamanan sebagai rakyat dan pernah dilantik menjadi untuk memegang jawatan dalam kerajaan di bawah kerajaan-kerajaan Islam termasuk di Sepanyol dan Turki. Oleh itu zionis yahudi sepatutnya merasa malu kerana membunuh dan menzalimi umat Islam apabila mereka berkuasa pada hari ini. Kita benci dan memerangi yahudi bukan kerana mereka beragama yahudi sebaliknya kerana mereka mengkhianati umat Islam dan merampas bumi milik umat Islam. Bersatulah kita  dalam menjulang dan mempertahankan Islam walau pun terpaksa mengorbankan jiwa raga.

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا  عظيما

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 


 Khutbah ini telah dibaca di Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh

   

© Hakcipta Darul Ulum 1428