Make your own free website on Tripod.com

 

 BAHAYA ENGKAR PERINGATAN ALLAH

 

 


 

       ..... !  

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 124 - 126 surah Toha :

Maksudnya : Dan sesiapa yang berpaling engkar daripada ingatan dan petunjukKu maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit. Dan Kami akan himpunkannya pada hari qiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: "Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?" Allah berfirman : Demikianlah keadaannya di mana telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu lalu engkau melupakan serta meninggalkannya. Dan demikianlah engkau pada hari ini dilupa serta ditinggalkan.

            Umat Islam yang inginkan kejayaan dan  ketenangan di dunia dan akhirat ialah umat yang sentiasa mengambil berat berkenaan peringatan dan petunjuk daripada Allah samada ketika senang atau susah, ketika kaya atau miskin, ketika sihat atau sakit. Manakala umat yang terus menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan sentiasa hidup dalam keadaan keluh kesah dan jauh daripada ketenangan yang diidamkan walau pun harta bertimbun, pengikut berduyun. Pada hari ini ramai umat manusia menjadi hamba kepada harta sehingga tidak lagi menghirau peringatan Allah tentang halal haram, dosa pahala, syurga neraka asalkan poket penuh. Sebagai umat Islam yang sedar bahawa harta adalah rezeki daripada Allah di mana ia ada kemampuan yang terbatas. Harta dunia jika diperolehi dengan cara yang halal dan dilaburkan kepada perkara yang halal maka ia boleh menjaminkan pahala tetapi jika sebaliknya maka harta boleh mendatangkan dosa. Kita mesti memperakui kelemahan harta di mana harta bukanlah segala-galanya walau pun banyak perkara memerlukan kepada harta untuk mendapatkannya. Ingatlah kita tentang kelemahan harta iaitu :

  1. Dengan harta kita mampu membeli banyak kitab atau buku tetapi dengan harta kita tidak mampu membeli akal yang mampu memahami isi kandungan kitab atau buku tersebut
  2. Dengan harta kita mampu membeli makanan tetapi dengan harta kita tidak mampu membeli selera makan untuk menghabiskan makanan itu
  3. Dengan harta kita mampu membeli barang kemas dan perhiasan tetapi dengan harta kita tidak mampu membeli kecantikan
  4. Dengan harta kita mampu membeli ubat tetapi dengan harta kita tidak mampu membeli kesihatan
  5. Dengan harta kita mampu membeli keseronokan tetapi dengan harta kita tidak mampu membeli ketenangan

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Antara maksud Zikr atau peringatan Allah ialah yang pertama iaitu al-Quran sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Hijr

Maksudnya :  Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kami benar-benar memeliharanya

            Betapa ramai umat Islam kini yang buta al-Quran dan tidak berasa bersalah dengan kejahilan itu. Golongan yang pandai membaca pula tidak menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan pilihan harian atas alasan ketiadaan masa sedangkan waktu untuk membaca akhbar dan majalah sentiasa ada. Golongan yang membaca al-Quran pula ramai yang tidak faham maksud al-Quran sehingga segala perintah atau larangan Allah hanya dipandang sepi. Golongan yang faham maksud al-Quran pula ramai yang tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian kerana lebih seronok dengan hasutan nafsu dan system ciptaan manusia. Bilakah kemenangan dan kemuliaan umat Islam dapat dicapai sekiranya mereka sendiri bertindak menjauhi diri daripada al-Quran sedangkan al-Quranlah merupakan ubat penawar yang paling mujarrab dalam menangani pelbagai masalah manusia. Apa yang lebih malang apabila ada umat Islam sendiri bangun menentang pelaksanaan system al-Quran

Sidang Jumaat yang diberkati Allah

            Maksud kedua bagi Zikr ialah ilmu agama sebagaimana Firman Allah dalam ayat 43 surah an-Nahlu :

.....

Maksudnya : . Oleh itu bertanyalah kepada mereka yang berpengetahuan agama sekiranya kamu tidak mengetahui

            Umat Islam yang jahil berkenaan agama mereka sendiri akan terlibat dengan perkara mungkar dan jenayah. Begitu juga golongan yang anti ulama dan pusat pengajian Islam akan terlibat dengan aktiviti yang merbahaya dan merosakkan. Golongan yang melaungkan bahawa kita mesti mengutamakan fardhu kifayah akhirnya menemui kegagalan bila umat Islam semakin jahil tentang fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah yang dicanangkan tidak mencapai sasaran. Begitu juga mata pelajaran agama di sekolah kebangsaan dan universiti semakin sedikit dari segi sukatan dan jam pembelajarannya disamping pembelajaran ilmu agama hanya untuk lulus periksa sahaja telah menyebabkan tiada kesan yang terhasil sehingga budaya ganas di kalangan pelajar semakin teruk dan menakutkan. Ilmu agama dianaktirikan yang menyebabkan keruntuhan aqiqah dan kerosakan akhlak semakin menggerunkan. Aktiviti dalam menyuburkan masjid dan surau semakin disekat dan dikawal lebih daripada mengawal pusat hiburan dan kongsi gelap. Golongan ulama pula disempitkan peranannya sebagai tukang baca doa bukannya sebagai pemimpin atau penasihat yang dihormati oleh pemerintah telah menyebabkan kejahilan terus membarah, jenayah semakin bertambah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Maksud ketiga bagi Zikr ialah solat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumaat :

......

Maksudnya : Maka apabila telah diseru bagi mendirikan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkan olehmu akan jualbeli

                Pada hari ini akibat kejahilan maka umat Islam semakin berani melawan Allah dengan meningalkan solat. Bermula dengan tindakan meruntuhkan tiang agama maka system-sistem Islam yang lain terus dirombak satu demi satu tanpa ada rasa bersalah. Sebab itu pada akhir zaman ini apabila orang yang rendah maruahnya dipilih menjadi ketua dan orang memuliakan orang lain kerana takutkan kejahatannya maka kita dapat lihat bagaimana kesungguhan dalam menghidupkan budaya maksiat mengatasi usaha dalam menyuburkan amal soleh. Pemimpin tidak runsing sekiranya rakyat tidak solat dan masjid semakin kurang ahli jemaahnya sebaliknya mereka lebih bimbang jika rakyat tidak boleh berhibur. Antara usaha terbaru dengan mewujudkan Laman Santai bagi membolehkan rakyat yang malu untuk ke kelab malam untuk menari pada setiap hari Sabtu dari jam 6 petang hingga 12 malam.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Maksud keempat bagi Zikr ialah zikrullah dengan banyak menyebut nama Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ahzab

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya

            Akibat hati dipenuhi dengan lagu-lagu syaitan dan lidah basah memuja nafsu telah menyebabkan hati menjadi mati dan jauh daripada petunjuk Allah.

Maksud kelima bagi Zikr ialah peringatan atau nasihat sebagaimana Firman Allah dalam ayat  55 surah az-Zaariyat :

Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatkan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang  yang beriman

            Kegagalam memperkasakan budaya nasihat menyebabkan yang rosak terus rosak dan yang baik terus dirosakkan. Sekat sebelum melarat, berubat sebelum merebak..Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

 


 Khutbah ini telah dibaca di Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh

   

© Hakcipta Darul Ulum 1428