Make your own free website on Tripod.com

 

BERSAMA JUNJUNG TUGAS NABI

 

 


       ..... !  

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 2 surah al-Jumaat :

 

Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata.

         Rabiul Awwal menjelang lagi bersama catatan sejarah gemilang dengan sama-sama mengingati kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhbir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran mengubah keadaan alam yang dulunya diselubungi suasana jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Pengutusannya sebagai penghulu segala nabi telah melenyapkan kebatilan dengan cahaya kebenaran Islam,  memadam kekufuran dengan siraman keimanan serta membanteras kezaliman dengan keadilan system Islam. Sekiranya umat Islam mahu mengubah semula keadaan daripada umat yang dijajah kepada umat yang memerintah, umat yang dipandang hina kepada umat mulia, umat yang lemah kepada umat yang gagah maka segala kebaikan dan tauladan yang ditunjukkan oleh nabi bukan setakat disebut tetapi diikut, bukan setakat dikata tetapi dikota, bukan setakat dilaung tetapi dijunjung, bukan setakat dicerita tetapi dilaksana dalam kehidupan seharian barulah segala yang diidamkan akan tercapai.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

         Antara tugas nabi Muhammad s.a.w yang mesti dicontohi dan diikuti oleh umat Islam ialah tiga tugas utama sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat iaitu yang pertama membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Tugas kedua pula membersihkan manusia daripada aqidah yang sesat dan kemudiaannya diikuti dengan tugas yang ketiga iaitu mengajarkan umat dengan kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat agama. Setelah ketiga-tiga tugas yang besar ini dillaksanakan dengan penuh amanah dan istiqamah, insya Allah kemuliaan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah dapat dicapai sehingga kita menjadi umat yang berjaya di dunia dan akhirat.

         Apabila kita merenung kembali kepada tugas pertama iaitu membacakan ayat-ayat Allah disamping memastikan sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam antaranya mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi.  Matlamat dalam melahirkan masyarakat yang boleh membaca al-Quran tidak akan tercapai tanpa usaha yang bersungguh dan berterusan daripada setiap lapisan masyarakat bermula daripada ibubapa sehinggalah pemimpin negara. Kita merasa bimbang kerana masalah buta huruf dalam negara umat Islam masih tinggi termasuk tidak tahu membaca al-Quran. Oleh itu setiap ibubapa mestilah memastikan paling kurang seorang daripada anaknya dihantar ke pusat pengajian agama bagi mendalami ilmu agama disamping memastikan dirinya sendiri dan anak-anak mestilah tahu dan pandai membaca al-Quran. Bila setiap rumah mempunyai ahli agama dan al-Quran pula sentiasa dibaca di dalamnya maka banyak masalah sosial yang menimpa umat Islam pada hari ini dapat ditangani. Tidakkah terdetik rasa gerun dalam diri kita sebagai ibubapa sekiranya bila telah meninggal dunia nanti maka berlaku di kalangan anak-anak kita yang bukan sahaja tidak tahu untuk solat jenazah kepada ibubapanya malah tidak pandai membaca al-Quran dan berdoa untuk kita akibat daripada pengabaian terhadap pengajian agam. Lupakah kita kita suatu pesan nabi bahawa apabila seseorang manusia itu telah meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada 3 sumber antaranya. :. Atau anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Tugas pemimpin pula mestilah memberi sokongan dan bantuan semaksima mungkin dalam melahirkan lebih ramai rakyat yang faham serta mengamalkan agama sehingga pelaksanaan seluruh system Islam dalam kehidupan dapat dijayakan. Kita begitu malu sekiranya alasan untuk terus menekan pusat pengajian agama hanya disebabkan pelajarnya didakwa tiada semangat cintakan negara kerana tidak menyanyi lagu Negaraku dalam perhimpunan pagi.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

         Tugas kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat melalui ilmu yang dipelajari. Tugas ini adalah penting dalam melahirkan umat Islam yang benar-benar berpegang kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Sekira berlakunya pemisahan antara ilmu moden dengan aqidah Islam telah menyebabkan umat Islam terlalu berpegang kepada falsafah sesat barat sehingga menolak kaitan agama dengan ilmu tersebut. Sebagai contohnya dalam masalah ilmu sains yang terlalu berpegang kepada falsafah yang menolak ketuhanan yang menyebabkan sebarang kajian hanya berbentuk keduniaan semata-mata bukannya ke arah mengkaji kejadian yang diciptakan oleh Allah serta mengakui kekuasaanNya dalam mencipta dan mengatur segala sesuatu.  Kita dapat dengar dan baca ulasan golongan yang hanya berpegang kepada teori sains sahaja dalam masalah tsunami dan banjir besar misalnya di mana golongan ini hanya menganggap bahawa apa yang berlaku adalah suatu perubahan alam akibat cuaca dan pergerakan alam semata-mata. Sedangkan kita umat Islam mestilah yakin bahawa setiap berlaku adalah mengikut kehendak Allah disamping setiap musibah yang menimpa adanya di sana kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh umat manusia samada dari segi pelanggaran terhadap suruhan dan larangan Allah dalam kehidupan seharian atau pun manusia merosakkan nikmat alam yang diciptakan Allah seperti merosakkan kawasan tadahan air dan sebagainya. Umat Islam mestilah merenung setiap apa yang berlaku untuk menambahkan lagi keimanan kepada Allah serta menyedarkan diri kita agar sentiasa berusaha dalam merapatkan diri kepada Allah sepanjang masa.

Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :

Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Tugas yang ketiga bagi memastikan seluruh Islam dapat dilaksanakan dengan baik iaitu mengajarkan umat dengan kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat agama. Ketika ramai rakyat di negara barat sendiri mula memilih Islam sebagai agama walau pun pelbagai tuduhan liar oleh pemimpin mereka terhadap Islam yang dituduh sebagai pengganas namun betapa malangnya di negara kita ramai pula umat Islam sendiri akibat jahil tentang agama ditambah pula dengan pandangan sempit bahawa agama bukanlah suatu yang penting dan berharga telah menyebabkan ramai yang murtad. Begitu juga dengan jumlah umat Islam yang terlibat dengan perkara yang merosakkan tubuh badan seperti dadah, arak sentiasa meningkat. Apatah lagi dalam masalah pecah amanah dan rasuah yang telah menjadi suatu kebiasaan akibat kefahaman terhadap hukum Islam yang cetek ditambah dengan pegangan terhadap agama yang semakin rapuh. Malah dalam memilih pemimpin lebih banyak salah laku berbentuk rasuah yang berlaku sedangkan suatu amaran keras tentang bahayanya rasuah dalam memilih pemimpin melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:

.... .

Maksudnya : .dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya

    51     :

 

Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : Kami dengar dan kami patuh.  Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.

 

 


   Khutbah ini telah dibaca di Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh

© Hakcipta Darul Ulum 1428