NAFSU DIJAGA UMAT BERJAYA

 

 


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 106 – 109  surah al-Isra’ :

وقرءانا فرقنـه لتقرأه على الناس على مكث ونزلنـه تنزيلا. قل ءامنوا به أو لا تؤمنوا إن الذين أوتوا العلم من قبله إذا يتلى عليهم يخرون للأذقان سجدا. ويقولون سبحـن ربنا إن كان وعدربنا لمفعولا. ويخرون للأذقان يبكون ويزيدهم خشوعا

Maksudnya : Dan al-Quran itu, Kami bahagi-bahagikannya supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan perlahan-lahan dan Kami menurunkannya beransur-ansur. Katakanlah (wahai Muhammad!) : “ samada kamu beriman dengan al-Quran atau tidak beriman (tidaklah menjadi hal) kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan al-Quran kepada mereka lalu mereka segera menyungkurkan muka dengan sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk) serta mereka mengatakan (dalam sujud) : “ Maha suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka bersegera menyungkurkan mukanya dengan sujud itu sambil menangis sedangkan al-Quran menambahkan lagi kekhusyukan mereka.

Kini kita berada pada separuh kedua bulan Ramadhan yang dijanjikan dengan rahmat pada awal kedatangannya diikuti dengan pengampunan dosa pada pertengahannya serta dibebaskan daripada api neraka pada penghujungnya bagi hamba-hamba Allah yang benar-benar menghidupkan Ramadhan. Syukurnya kita kepada Allah atas nikmat Ramadhan yang padanya dibuka seluas pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka, diganda pahala, diampunkan dosa, dimakbul doa, dirantai  segala syaitan derhaka ditambah pula dengan ada pada salah suatu malamnya  laillatul qadar di mana kelebihan beribadat pada malamnya lebih baik daripada seribu bulan maka kita mestilah mengambil  peluang sebaik mungkin dalam menghidupkan Ramadhan dengan amal ibadat seperti bersedekah, menjamu orang berbuka puasa, tadarrus al-Quran, solat terawih, qiamullail dan sebagainya. Marilah kita sama-sama muhasabah diri kita di mana setelah 2 minggu berpuasa apakah hasil yang telah kita capai dalam melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.  Jangan biarkan masjid hanya penuh pada awal Ramadhan, mula berkurangan ahli jemaahnya pada pertengahan Ramadhan dan paling sedih terus lengang pada penghujung Ramadhan. Jangan biarkan kita terus memenuhi pasaraya untuk merebut jualan murah yang ditawarkan oleh manusia sedangkan kita tidak menghiraukan tawaran Allah yang jauh lebih hebat dan terbaik. Jangan biarkan dosa maksiat semakin bertambah ketika amal ibadat semakin berkurang. Jangan biarkan berat badan makin naik sedangkan pahala amalan makin turun. Jangan biarkan wang banyak dihabiskan untuk membeli juadah sedangkan kurang untuk bersedekah.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

         Kita mesti yakin bahawa kewajipan puasa yang ditetapkan oleh Allah ini untuk kebaikan kita semua di dunia dan akhirat. Kewajipan ini tidak pernah merugikan kita sekiranya dapat ditunaikan dengan penuh cermat dan ikhlas kepada Allah. Pengkaji barat turut mengakui bahawa Islam adalah satu-satunya agama di dunia ini yang mengajar umatnya supaya bangun pada awal pagi dengan ibadat-ibadat tertentu seperti solat subuh pada bulan-bulan biasa dan ditambah dengan ibadat sahur pada bulan Ramadhan. Amalan bangun awal pagi ini mampu mencergaskan otak kerana pada waktu pagilah kandungan oksigen banyak dan segar. Oleh itu gunakanlah peluang lepas bersahur untuk solat sunat dan membaca al-Quran  seterusnya memenuhi ruang-ruang di masjid atau surau untuk solat subuh berjemaah. Alangkah malangnya sekira ada di kalangan kita yang dapat bangun awal untuk bersahur tetapi terus tidur sebaik sahaja sudah bersahur sehingga lewat untuk solat subuh apatah lagi ada yang terus mengabaikan solat subuh kerana melayan nafsu tidur. Sepatutnya Ramadhan ialah bulan untuk memanaskan nafsu yang keras agar ia menjadi cair bagi memudahkan kita mengawalnya bukan menambahkan lagi kekerasannya sehingga nafsu yang mengawal kita bukan kita yang mengawal nafsu.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alangkah bahagianya sebuah keluarga apabila ahlinya dapat berpuasa bukan setakat perutnya sahaja sebaliknya seluruh anggota. Alangkah amannya sebuah masyarakat apabila anggotanya dapat berpuasa bukan sahaja daripada makan minum tetapi turut mengawal seluruh pancainderanya. Alangkah makmurnya sebuah negeri dan negara apabila rakyatnya dapat berpuasa mata, kaki, tangan, mulut, telinga, kemaluan ditambah dengan hati. Bila mata turut berpuasa maka ia dapat mencegah daripada melihat perkara yang dilarang oleh Allah. Bila kaki berpuasa maka ia dapat menegah kita daripada mendekati tempat-tempat maksiat. Bila tangan berpuasa maka ia dapat menahan seseorang daripada mencuri, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Bila mulut berpuasa maka lidah banyak membaca al-Quran dan zikrullah daripada menambah dosa dengan mengumpat, menipu dan sebagainya. Bila telinga berpuasa maka ia lebih banyak digunakan untuk mendengar majlis ilmu daripada mendengar muzik dan perkataan yang sia-sia. Bila kemaluan turut berpuasa maka kita dapat jauhkan kita daripada perkara mungkar termasuk zina. Apatah lagi bila kita turut berpuasa pada hati maka segala sifat tercela seperti hasad dengki, takabbur, bakhil dan sebagainya dapat dibuang. Oleh itu marilah kita sama-sama memastikan setiap anggota kita turut berpuasa agar lahirnya umat bertaqwa yang dapat hidup dalam keadaan aman tenteram dan bahagia di dunia dan akhirat. Apa yang menjadi masalah pada kita sekarang ialah apabila ramai yang berpuasa hanya menahan diri daripada makan minum tetapi anggotanya terus bebas dalam melakukan maksiat kepada Allah maka kesan daripada ibadat puasa tidak dapat dicapai sehingga keamanan yang diidamkan tidak dapat dirasai.

Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Abu Hurairah:

قال الرسول e  : مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالعَمَلَ بِهِ  فَلَيْسَ للهِ حَاجَةٌ فِى أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya : Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta (dengan anggota) maka Allah tidak akan memberikan apa-apa ganjaran di atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (puasa)

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Sempena berada pada bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan nikmat ini maka kita turut mengimbau kembali bagaimana hebatnya umat Islam apabila nafsu dikekang maka semangat dalam mempertahan serta menyebarkan Islam semakin kuat.  Ramadhan pernah menyaksikan bagaimana kemenangan 313 tentera Islam bila berdepan dengan seribu orang tentera kafir Quraisy dalam peperangan Badar al-Kubra pada tahun 2 Hijrah. Pada 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah pula mencatatkan kemenangan gemilang dengan pembukaan Kota Mekah tanpa sebarang pertempuran. Ramadhan tahun 10 Hijrah pula, nabi Muhammad s.a.w telah mengutuskan Sayyidina Ali untuk membawa surat kepada penduduk Yaman khususnya kaum Hamdan di mana dalam tempoh satu hari sahaja, kesemua mereka memeluk Islam secara aman. Manakala 5 hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun 9 hijrah, Rasulullah s.a.w telah menghantar Khalid Ibnu Walid bagi memusnahkan patung al-‘Uzza di Nakhla di mana patung al-‘Uzza menurut kepercayaan arab jahiliah merupakan patung dewi yang terbesar dan mereka sering menyebut nama patung ini bila melafazkan sumpah. Seterusnya pada Ramadhan tahun 9 Hijrah juga menyaksikan bagaimana bani Thaqif yang enggan tunduk kepada nabi Muhammad s.a.w walau pun telah dikepung di Taif begitu lama akhirnya menghantar rombongan ke Mekah dengan menyerahkan Bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah dan patung al-Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

Semoga semangat jihad yang tinggi yang pernah ditunjukkan oleh generasi kemenangan sebelum ini terutama pada bulan Ramadhan dapat diikuti dan dicontohi. Kita pada tahun ini menyambut Ramadhan ketika baru sahaja menyambut 50 tahun merdeka. Jika para ulama’ dan pejuang kemerdekaan sebelum ini berjaya menghalau keluar tubuh penjajah maka kita pada hari ini wajib menghalau system perundangan, ekonomi, sosial penjajah yang terus merosak dan memundurkan umat Islam. Hidupkan Ramadhan dengan membaca al-Quran, faham al-Quran, amal al-Quran, laksana system al-Quran barulah kita merdeka dunia, merdeka di alam kubur dan seterusnya merdeka bila bertemu Allah di akhirat nanti

         فرمان الله تعالى دالم أية    89    سورة   النحل :

ونزلنا عليك الكتب تبيـنا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين

Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 


   Khutbah ini telah dibaca di Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh

© Hakcipta Darul Ulum 1428