Make your own free website on Tripod.com
 

Apa Ada Dengan Raya Kita

 

       

           

           Baru rasanya menyambut kedatangan Ramadhan tetapi masa berlalu begitu pantas sehingga Syawal yang datang bagaikan mimpi. Betapa pilu dan sedih ketika mahu mengucapkan semoga bertemu kembali wahai Ramadhan. Sebagaimana perasaan seorang tuan rumah merasa serba salah bila tetamu istimewa mahu berangkat pulang. Datang dalam diri tentang betapa kurangnya layanan dan sambutan yang diberi. Kini sama-samalah kita bermuhasabah menghitung diri samada Ramadhan yang baru lalu mampu menukar corak kehidupan kita ke arah yang lebih baik serta merapatkan lagi hubungan kita dengan Allah atau sekadar melepas batuk ditangga semata-mata melepaskan kewajipan sahaja tanpa beroleh hasilnya. Sekiranya gandum yang masuk kilang bertukar keadaannya samada menjadi kek, biskut dan sebagainya untuk dipasarkan maka bagaimana kedudukan kita selepas melalui proses dalam kilang tarbiah Ramadhan. Adakah di sana perubahan ke arah yang lebih positif atau kekal ditakuk lama atau pun berundur ke belakang menjadi negatif. Pernahkah kita bertanya kepada diri kita setiap kali berlalunya Ramadhan samada berjaya berubah atau pun kita tidak pernah menghiraukan semua itu kerana beranggapan bahawa kita telah pun tunai kewajipan berpuasa sebulan Ramadhan. 

        Kepiluan dan kesedihan kerana berpisah dengan Ramadhan sedikit sebanyak terubat apabila berjaya menyahut seruan nabi agar kita mengerjakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ketibaan Syawal lebih bermakna bila diraikan dengan pelbagai amalan ibadat dengan menjauhi maksiat, membanyakkan takbir serta mengelak diri daripada membazir. Syawal lebih bererti bila setiap amalan yang dibuat berlandaskan suluhan wahyu dengan menghindari daripada ditipu oleh hawa nafsu. Syawal lebih indah bila diri ini mampu menjadi hamba Allah yang tunduk patuh kepadaNya serta menjauhi daripada bersifat seperti kawan syaitan yang sentiasa menggoda umat manusia. Tanyalah tentang kegembiraan sebenar pada diri kita ketika menyambut kedatangan hari raya. Adakah gembira kerana tak payah lagi berpuasa dan tak perlu lagi ke masjid untuk berterawih. Adakah gembira kerana boleh bersama ibubapa dan saudara mara. Adakah gembira kerana boleh memakai baju raya dan makan kuih raya. Jika itu sahaja makna hari raya kita maka tanyalah pada diri samada kita ini hanya mahu menyambut hari raya setakat di dunia sahaja atau pun kita juga memang mahu untuk turut berhari raya apabila bertemu dengan Allah di akhirat kelak. Kita dapat lihat bagaimana pelbagai ragam manusia tentang makanan dan kesihatan. Ramai yang mahu sentiasa sihat serta dijauhi sebarang penyakit tetapi tidak mahu berpantang bila makan. Jarang sekali manusia yang memang sentiasa menjaga kesihatan dengan mengawal cara pemakanan harian agar seimbang dan tidak melampau. Begitulah keadaan manusia dengan dosa pahala, syurga neraka di mana ramai yang hanya mahu pahala dan syurga tetapi malas beramal dan ramai sekali manusia yang benci dosa serta gerun pada neraka sedangkan perbuatan mereka selari dengan hawa nafsu dan godaan syaitan serta jauh daripada suluhan wahyu dan Tuhan.

        Setiap agama ada perayaan mereka yang tersendiri mengikut adat dan kepercayaan masing-masing. Oleh itu bezakanlah sambutan hari raya kita daripada agama lain. Umat Islam sebagai umat pilihan sewajibnya mengikut segala garis panduan yang telah ditunjuk oleh agama dalam menyambut hari raya. Jangan samakan hari raya kita dengan agama lain. Ingatlah bahawa setiap gerak geri kita sentiasa diawasi oleh malaikat yang setia yang sentiasa menulis dosa pahala yang kita lakukan termasuk ketika menyambut kemeriahan hari raya. Alangkah bahagia dan mulianya umat Islam yang menghidupkan hari raya dengan amal ibadat yang tertulis pahala padanya. Betapa ruginya umat Islam yang mencemari kemuliaan hari raya dengan maksiat sehingga ditulis sebagai dosa yang bakal ditanya di hadapan Allah di akhirat kelak. Pilihlah mana yang lebih baik samada mengekang nafsu semasa menyambut hari raya sehingga kita mampu memperolehi balasan Syurga di akhirat atau mengotori kesuciaan hari raya dengan mengikut hasutan hawa nafsu sehingga bakal berdepan dengan azab neraka di hari pembalasan nanti.....tepuklah dada dan tanyalah iman kita tentang pada tahap manakah sambutan hari raya kita..ikut wahyu atau tunduk pada nafsu...jadi hamba Tuhan yang bersyukur atau jadi kawan syaitan yang kufur.....

 

 


Selayang Pandang Bil.154  /  18 Syawal 1427H
   © Hakcipta Darul Ulum 1427H