Make your own free website on Tripod.com
 

Bala Peringatan Berharga

 

       

           Bala atau ujian merupakan suatu kalimah yang penuh dengan pengertian di mana beruntunglah orang yang dapat memahami serta menghadapinya dengan baik. Setiap orang menghadapi ujian yang berbeza dengan keadaan serta situasi juga yang berlainan tidak sama tidak serupa. Kadang-kadang sekelompok manusia menghadapi ujian yang sama tetapi natijahnya terhadap diri mereka adalah berbeza. Setiap ujian yang dicubakan oeh Allah kepada makhlukNya ada hikmat yang tersendiri berdasarkan keimanan seseorang kepada Allah. Ada ujian yang bersifat untuk menguatkan lagi keimanan dan pergantungan seorang hamba dengan Allah, ada juga ujian untuk menyedarkan hamba yang lalai daripada mengingati Allah agar dia tidak tergelincir dan semakin jauh daripada Allah dan tidak kurang ujian ini merupakan suatu hukuman berat yang ditimpakan ke atas makhlukNya yang terus derhaka walau telah banyak peringatan yang telah diberikan dengan pelbagai cara. Nabi pernah menyatakan bahawa golongan yang paling banyak dan kuat menghadapi bala ujian daripada Allah ialah golongan para nabi dan rasul serta hamba Allah yang mengikuti jejak langkah mereka dalam menjulang Islam mulia di atas muka bumi ini terutama ulama' yang digelar pewaris para nabi. Oleh itu kita sebagai hamba Allah mesti bersabar di atas setiap bala ujian yang kita hadapi agar kita beroleh pahala di sisi Allah sebagaimana menyahut nasihat nabi s.a.w: Alangkah beruntungnya umat yang beriman kepada Allah bila mereka bersyukur di atas nikmat Allah maka dia beroleh pahala dan bila dia bersabar di atas bala ujian Allah maka dia pun beroleh pahala.

           Ujian pula ada yang berbentuk kesenangan seperti anak, harta, pangkat dan tidak kurang yang berupa penderitaan dan kesusahan seumpama kebakaran, banjir, ribut dan sebagainya. Ujian bala yang menimpa terutama pada umat yang tidak maksum yang sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan ini banyak berlaku akibat kesilapan yang dilakukan oleh tangan kita sendiri. Selain dosa maksiat ditambah dengan kerosakan yang dilakukan terhadap sumber alam seperti hutan, tanah, sungai dan sebagainya menyebabkan kita menerima akibat buruknya. Oleh itu setiap kali turunnya bala ujian maka tanyalah kesilapan diri kita jangan melawan takdir Allah. Begitu juga setiap kali datangnya ujian Allah maka kita perlu insaf dan segera bertaubat bukannya datang perasaan putus asa daripada rahmat Allah sehingga merasakan diri kita ini umat celaka yang dimurkai Allah. Sebaliknya bersabarlah di atas ujian yang datang dengan bersungguh-sungguh berusaha ke arah menjadi hamba Allah yang semakin hari semakin banyak membuat ibadat disamping menjauhi maksiat. Umat yang berjaya ialah umat yang sentiasa bertaubat walau pun dia tidak jelas melakukan kesalahan sebaliknya umat yang rugi ialah umat yang terus yakin bahawa dia tidak pernah bersalah dan payah untuk bertaubat walau pun jelas melakukan maksiat terhadap Allah. Tiada rugi bertaubat walau tidak berbuat dosa kerana kita bakal dianugerahkan dengan pahala. Sebaliknya betapa ruginya umat yang malas dan payah bertaubat walau dirinya jelas berbuat maksiat kepada Allah kerana sikapnya itu menambahkan lagi dosa yang sedia ada.

             Ramai umat manusia termasuk umat Islam sendiri yang jarang sedar bila diuji dengan kesenangan sehingga mereka semain lama semakin lalai dan jauh daripada mendekatkan diri kepada Allah. Manusia jarang sedar betapa pentingnya keamanan kecuali bila datangnya ujian peperangan, nikmat sihat kecuali bila sakit, nikmat muda kecuali bila tua, nikmat kuat kecuali bila lemah, nikmat kaya kecuali bila miskin, nikmat senang kecuali bila susah. Ramai manusia yang lupa bahawa kesenangan juga merupakan suatu ujian sebaliknya mereka hanya mengakui bahawa kesusahan dan penderitaan sahaja barulah suatu ujian. Sebab itulah ramai manusia yang rosak akibat senang walau pun tidak kurang juga manusia yang turut rosak sekali pun telah diuji dengan kesusahan. Betapa malangnya manusia yang tidak bersyukur apabila dianugerahkan dengan kesenangan dan bertambah malangnya manusia yang semakin jauh daripada Allah walau pun telah diuji dengan kesusahan. Orang kaya yang tidak bersyukur hanya rugi sekali iaitu kerana tidak bersyukur sebaliknya orang papa yang tidak bersabar pula rugi dua kali iaitu kerana kesusahan papa ditambah dengan kesalahan tidak bersabar. Oleh itu setiap diri kita mesti sentiasa bermuhasabah menghitung diri sepanjang masa atas segala ujian yang sedang kita hadapi samada berbentuk kesenangan apatah lagi berupa kesusahan sehingga kita termasuk dalam golongan umat yang bersyukur atas nikmat dan bersabar atas bala ujian.

 

 


Selayang Pandang Bil.160  /  15 Sofar 1428H
   © Hakcipta Darul Ulum 1428H