Make your own free website on Tripod.com
 

Kenali & Contohilah Nabi

 

       

          

        Saban tahun setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal, pelbagai cara dan ragam yang dilakukan oleh umat Islam yang mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w dalam menyambut bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Nabi dipuji, keindahan akhlaknya disebut, perjuangannya dicerita, kehebatannya dikata cuma tindakan selanjutnya daripada umatnya yang mengadakan majlis sambutan maulidurrasul itu sahaja yang berbeza. Ada yang hanya pandai memuji pada mulut sahaja sedangkan pada kelakuan dan tindakannya jauh daripada ajaran nabi. Ramai yang hanya pandai bercerita tentang perjuangan nabi tetapi mereka sendiri tidak mengikuti jejak langkah baginda. Tidak kurang mereka yang hanya bergembira kerana dapat mengadakan majlis maulidurrasul sedangkan kewajipan agama diabaikan. Oleh itu marilah kita sama-sama menghitung diri agar setiap majlis maulidurrasul yang diadakan disertakan dengan tindakan barulah ia tidak menjadi sesuatu yang sia-sia. Tiada guna menghabiskan masa, tenaga, harta untuk mengadakan majlis sambutan maulidurrasul sedangkan pengajaran yang sepatutnya diambil daripada majlis tersebut diketepikan malah ada yang disanggah samada dengan percakapan atau perbuatan. Jangan ulangi kesalahan besar golongan yahudi yang mengenali nabi Muhammad s.a.w lebih daripada mereka kenal anak mereka sendiri tetapi bila nabi mengajak mereka agar beriman kepadanya lalu golongan ini menjadi penentang utama serta bertindak memesong orang lain daripada beriman kepada nabi Muhammad s.a.w. 

           Umat yang paling hebat ialah umat yang paling banyak memuji nabi dan banyak pula mengikut jejak langkah nabi dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Umat yang paling berjaya ialah umat yang banyak menyebut perjuangan suci baginda serta melaksanakan kewajipan agama dalam kehidupan. Umat yang mulia ialah umat yang paling banyak memuji kehebatan nabi dan dalam masa yang sama sanggup mati dalam mempertahankan kemuliaan peribadi dan perjuangan nabi daripada penghinaan musuh Islam. Marilah kita sama-sama melahirkan generasi yang mengenali peribadi dan perjuangan nabi seterusnya mengikut dan meneruskan perjuangan suci itu walau terpaksa menggadai jiwa dan raga. Waspadalah kita tentang perancangan musuh Islam yang bukan sahaja berusaha siang dan malam dalam menjauhkan generasi muda umat Islam agar menjauhi cara hidup nabi malah musuh Islam juga berusaha agar umat Islam tidak lagi mengenali siapa itu nabi Muhammad s.a.w yang sebenar. Kita dapat menyaksikan bagaimana generasi hari ini lebih mengenali artis dan ahli sukan daripada mengenali nabi Muhammad s.a.w. Jika mereka lebih suka menjadikan artis dan sebagainya sebagai idola maka cara hidup mereka pun berdasarkan kepada ikutan mereka itu. Akhirnya mereka tidak lagi mengenali nabi apatah lagi mencintainya.  Tidak kenal maka tak cinta.

             Cinta pada nabi Muhammad s.a.w hanya dapat direalisasikan bukan setakat menyebut perjuangan tetapi mesti mengikut jejak langkahnya. Cinta pada Rasulullah s.a.w bukan setakat mengatakan tentang pengorbanan sucinya tetapi mesti disertakan dengan pengorbanan daripada kita sendiri untuk mencontohinya. Jika mahu berjaya maka kita mesti meniru sikap dan sifat yang ada pada generasi kemenangan bukan setakat menyebut dan mencerita kejayaan mereka sahaja. Jangan jadi umpama menang sorak kampung tergadai. Tanda orang yang gagal ialah orang yang tahu berseronok dengan kejayaan orang lain sedangkan diri sendiri tidak mengikut jejak langkah mereka yang telah berjaya itu. Sifat orang gagal lagi ialah orang yang banyak memberi alasan apabila disuruh bekerja, banyak berangan-angan daripada melaksana tugas, banyak berehat daripada berusaha, banyak bergurau daripada serius dan bersungguh ketika menunaikan tanggungjawab, lebih banyak masa dihabiskan untuk bersukaria daripada waktu bekerja. Tepuklah dada tanyalah usaha kita samada mahu menjadi orang berjaya atau orang gagal dalam hidupnya.......

 

 


Selayang Pandang Bil.164  /  1 J Awwal 1428H
   © Hakcipta Darul Ulum 1428H