Make your own free website on Tripod.com
 

Bagaimana Kita Layan Ramadhan

 

       

          

        Ramadhan bersama segala kelebihan dan keistimewaannya sedang menjengah kita buat sekian kalinya. Ramadhan bagaikan tetamu istimewa yang bukan sahaja begitu cantik rupa paras dan akhlaknya bahkan membawa kepada kita pelbagai tawaran kesenangan yang sememangnya mampu diberi mengikut kemahuan kita. Bijakkah kita jika kedatangan tetamu istimewa ini tidak dilayan sebaik mungkin sehingga dia merajuk dengan kita. Hebatkah kita sekiranya tetamu istimewa ini diusir agar segera meninggalkan kita kerana menganggap bahawa tetamu itu membawa susah kepada kita. Cerdikkah kita sekiranya tawaran hebat yang ditawarkan oleh tetamu istimewa itu terus ditolak mentah-mentah sedangkan tawarannya itu memang diperlukan oleh kita. Pintarkah kita sekiranya tawaran yang mahu diberi oleh tetamu istimewa itu bukan sahaja tidak dihirau  malah diejek dan dicemuh sedangkan tawaran itu bukan merugikan kita malah menguntungkan lagi kita. Alangkah beruntung bagi sesiapa yang melayan tetamu istimewa ini sehingga dia berjaya meraih segala tawaran itu. Sebaliknya betapa rugi sesiapa yang buat acuh tidak acuh sahaja terhadap tetamu istimewa ini sehingga dia kerugian segala-galanya.

        Kini tetamu istimewa ini sedang membilang baki hari-hari terakhir bersama kita kerana dia akan pergi meninggalkan kita tidak lama lagi. Adakah kita berasa seronok dengan pemergian tetamu istimewa ini sedangkan sepanjang kita berada bersamanya, dia bukan sahaja tidak menyusahkan kita malah banyak memberi kita bantuan dan kesenangan. Adakah kita berasa bosan melayan tetamu yang bakal berangkat pergi ini sedangkan dia memberi kita sinar harapan dan kebahagiaan. Adakah kita berasa jemu untuk terus bersama dengan tetamu sitimewa ini sedangkan dia telah banyak melepaskan kita daripada kesusahan dan kedukaan. Adakah kita berasa kurang senang dengan tetamu istimewa ini sedangkan semakin dekat hari pemergiaannya semakin banyak keperluan dan kemahuan kita ditunaikan. Adakah kita berasa rugi menerima kedatangan tetamu istimewa ini sedangkan kita tidak perlu menyusahkan diri kita sebaliknya dia yang bersusah payah menyenangkan kita. Hanya iman dan taqwa yang membezakan layanan kita terhadap istimewa ini samada baik atau buruk.

             Semoga kita semua termasuk dalam golongan para solehin yang sentiasa melayan kehadiran Ramadhan dengan sebaiknya sehingga segala tawaran Allah sentiasa direbut tanpa mensia-siakannya. Jika tawaran manusia kita boleh percaya dan sanggup bermati-matian untuk mendapatkannya maka inikan pula tawaran Allah yang kita semua yakin bahawa Allah tidak pernah memungkiri janji. Jika janji manusia kita boleh pegang inikan pula janji Allah yang tidak pernah menghampakan hambaNya. Gunakanlah kedatangan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kelebihannya ini dalam melahirkan kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Jangan sia-siakan peluang yang ada. Sesal dahulu pendapatan sedangkan sesal kemudian tiada berguna. Ambil sebelum hilang, pegang sebelum lari, guna sebelum habis, kejar sebelum hilang. Tidak rugi mengejar janji yang pasti sedangkan tiada untung asyik mengharap pada yang fana.

 

 


Selayang Pandang Bil.170  /  24 Ramadhan 1428H
   © Hakcipta Darul Ulum 1428H