Umpan Musuh DiTelan Umat Ketinggalan  

 

 


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا  عظيما

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

         Perjuangan Islam bukannya dilalui dengan cara senang sebaliknya memerlukan kepada pengorbanan, ia tidak menjanjikan kemewahan sebaliknya menuntut kepada mengenepikan kepentingan diri sendiri, ia bukannya dihampar dengan permaidani merah sebaliknya menagih kepada tumpahnya darah. Ketika merenung kembali kepada perjuangan dan kejayaan serta kegemilangan yang pernah dicapai oleh nabi Muhammad s.a.w dan para pejuang Islam sebelum ini adalah disebabkan mereka yakin dengan Islam sebagai system pemerintahan dan manhaj kehidupan. Generasi kemenangan begitu yakin bahawa mereka adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan kepada manusia dengan tunduk patuh kepada Allah. Generasi kemenangan telah memainkan peranan dalam membebaskan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah dalam setiap aspek kehidupan. Generasi kemenangan telah memberikan tamadun berasaskan Islam kepada dunia di mana tanpa tamadun Islam maka dunia akan kekal dalam keadaan terumbang-ambing di dalam kegelapan tanpa system hidup yang teratur, kemunduran, kejahilan dan keruntuhan. Generasi kemenangan bila menempuh sebarang pertempuran, pembebasan dan penawanan maka mereka meletakkan di hadapan mata mereka samada menang untuk mereka hidup dalam kemuliaan atau pun gugur syahid menemui Allah sebagai pejuang Islam.  Jasa generasi kemenangan ini telah memberi faedah yang begitu berharga kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama sehingga seorang penulis barat pernah menukilkan: “ Eropah pada masa dahulu adalah buta huruf dan terkenal dengan kejahilan sedangkan Andalusia atau Sepanyol yang diperintah oleh kerajaan Islam telah mempunyai perkembangan ilmu dan membawa bendera pengetahuan di dunia”. Seorang penulis barat yang lain menyatakan :” Umat Islam pada kurun-kurun pertengahan adalah unggul dalam bidang ilmu, falsafah dan seni. Mereka telah mengembangkannya di mana sahaja mereka berada. Ia telah meresap masuk ke Eropah di mana umat Islam adalah sebab kepada berlangsungnya kemajuan dan perkembangan di Eropah”.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

         Firman Allah dalam ayat 11 surah Al-Ra’du :

……  إن الله لايغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم ……..

Maksudnya : …. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan mereka…….

Kejayaan generasi kemenangan tidak akan bermakna jika kita tidak bersungguh dalam mengikuti jejak langkah mereka. Kegemilangan generasi kemenangan tidak mampu berulang sekiranya kita hanya menyebutnya di mulut tanpa mengikutnya dengan segenap kekuatan yang ada. Umat yang berjaya bukan umat yang paling banyak bercakap sebaliknya yang paling banyak menunaikan tanggungjawab. Umat yang cemerlang bukan umat yang paling banyak mengingati kejayaan orang lain sebaliknya yang paling bersungguh melaksanakan kerja dalam mengulangi kejayaan yang pernah dicapai. Umat mulia bukan umat yang hanya bergembira atas kejayaan umat silam sebaliknya umat yang berjaya mencapai kemuliaan hasil usaha mereka sendiri dengan menjadikan umat Islam silam sebagai contoh teladan. Oleh itu kalah dan menang, maju dan mundur, hina dan mulia, merdeka dan dijajah terletak di atas keyakinan dan pelaksanaan kita terhadap system Islam dalam kehidupan. Pilihan terletak di atas kemahuan kita samada mahu menjadi hina sebagai hamba abdi kepada system kuffar atau mahu menjadi umat mulia yang tunduk kepada system Islam.

Musuh Islam sentiasa berusaha siang dan malam dalam memastikan umat Islam terus dijajah dari pelbagai sudut termasuk pemikiran dan system. Kita mesti ingat bagaimana antara perancangan jahat perang Salib yang terus berlangsung ialah [1] Menghapuskan perlaksanaan system Islam di kalangan umat Islam [2] Menjauhkan al-Quran dan sistemnya daripada umat Islam [3] Menghancurkan pemikiran umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar  [4] Menghapuskan kesatuan antara umat Islam  [5] Merosakkan kaum wanita Islam.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

         Kejayaan kuffar dalam melakukan penjajahan terhadap pemikiran dan system hidup umat Islam hasil daripada perancangan awal mereka di mana penjajah hanya memberi kemerdekaan kepada pemimpin umat Islam yang telah dirosakkan pemikiran mereka. Akhirnya umat Islam dirosakkan melalui beberapa cara dengan bantuan pemimpin yang beragama Islam sendiri secara sedar atau tidak antaranya melalui penggunaan system kuffar dalam perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya sehingga umat Islam sendiri lebih serasi dengan system kuffar daripada Islam. Akhirnya umat Islam lebih yakin kepada system kuffar daripada Islam sedangkan sudah ramai masyarakat barat sendiri mengakui kehebatan system Islam antaranya seorang ahli falsafah Inggeris dengan katanya : “ Agama Muhammad mempunyai kedudukan dan nilai yang tinggi kerana ia mempunyai kandungan yang hebat dan ia merupakan satu-satunya agama yang mempunyai keupayaan bagi perkembangan hidup. Saya berpendapat adalah semestinya Muhammad itu dipanggil “Penyelamat manusia”. Dan juga saya merasakan bahawa lelaki yang seumpamanya mengambil alih pimpinan dunia masa kini nescaya dia akan berjaya di dalam menyelesaikan permasalahan yang melanda dunia sekarang ini”.

Firman Allah dalam ayat  41 surah al-Ankabut :

مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء  كمثل العنكبوت اتخذت بيتا  وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka  mengetahui

 

 Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Antara cara lain yang digunakan oleh musuh Islam dalam merosakkan pemikiran umat Islam ialah melalui system pendidikan dengan sukatan pelajaran yang berkiblatkan barat serta pengurangan pengajian agama disamping cara pergaulan antara pelajar yang bebas. Musuh Islam juga menggunakan media massa terutama tv, radio, majalah, internet dan sebagainya dalam memastikan aqidah dan akhlak umat Islam dapat dipesongkan. Akhirnya timbulnya umat Islam yang berani mempertikaikan ajaran Islam termasuk masalah pergaulan bebas, aurat, zina, poligami, murtad dan sebagainya. Bila umat Islam sendiri sudah tidak yakin kepada Islam serta berani mempertikaikannya disamping pemimpin sendiri lebih seronok mengumpul harta dan menjaga takhta daripada menjaga kesucian agama maka kesempatan ini diambil oleh orang bukan Islam dalam menghina umat Islam. Antara yang terbaru ialah apabila ada sebuah parti yang sebelum ini telah menghina umat Islam dengan cadangan agar dibuang pengajian pendidikan Islam di sekolah atas alasan bahawa ia hanya sesuai belajar di rumah dan masjid sahaja. Kini mereka sekali lagi cuba bermain api dengan umat Islam apabila salah satu bahagian parti tersebut mencadangkan agar Mufti Perak dipecat dengan alasan menjadi dalang utama kepada tersebarnya sms palsu yang mengatakan Dato’ Azhar Mansor telah murtad dan cuba memurtadkan ratusan umat Islam yang lain di sebuah gereja di Ipoh sedangkan kes ini telah lama diselesaikan oleh pihak keselamatan. Akhirnya setelah hampir seminggu kenyataan biadap ini dikeluarkan dan beberapa demontrasi serta laporan polis dibuat oleh umat Islam yang cintakan agama barulah ia ditarik balik bersama permohonan maaf. Sekiranya umat Islam masih berdiam diri dan hanya membiarkan musuh Islam menghina Islam maka mereka akan melangkah lebih jauh sebagaimana tujuan asal mereka iaitu membuang Islam daripada menjadi agama rasmi negara. Bangkitlah wahai umat Islam! Kita rela mati daripada membiarkan Islam dimaki. Biar bermandi darah daripada terus membiarkan Islam disanggah

فرمان الله تعالى دالم أية    51    سورة النور :

إنما كان قول المؤمنين إذا دعوا إلى الله ورسوله ليحكم بينهم أن يقولوا سمعنا وأطعنا  وأولئك هم المفلحون

Maksudnya : Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah S.W.T dan sunnah Rasulullah agar mereka berhukum dengannya di kalangan mereka lalu mereka berkata : “ Kami dengar dan kami patuh”.  Dan mereka itulah golongan yang beroleh kejayaan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 


 Khutbah ini telah dibaca di Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh

   

© Hakcipta Darul Ulum 1428