Apa Ada Pada Ramadhan Kita

 

       

           

        Ahlan wa sahlan Ya Ramadhan!...Selamat datang wahai Ramadhan..Datangmu bersambut, ziarahmu dinanti oleh seluruh umat Islam yang memahami dan menghayati kelebihanmu. Kedatangan dan ketibaanmu buat sekian kalinya dalam hidup ini merupakan hadiah berharga daripada Allah Tuhan Pencipta alam semesta bagi membolehkan hambaNya membersihkan diri daripada dosa, menghiasi diri dengan rahmatNya serta menjauhi diri daripada azab neraka apabila mampu melaksanakan segala kewajipan dan arahan Allah serta menghindari segala tegahan dan laranganNya. Ketibaanmu merupakan peringatan besar daripada Allah agar diri ini tidak terus hanyut dengan godaan hawa nafsu, menyedarkan diri ini agar menambah kualiti dan kuantiti ibadat seharian sehingga mampu menjadi hamba yang rapat dengan Allah serta mengingatkan diri ini tentang matlamat hidup di dunia ialah mahu menjadi hamba yang beriman, ikhlas dan bertaqwa kepada Allah sehingga mampu meraih kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.

        Diri ini amat kerdil dalam mengejar dan mengambil peluang sebaik mungkin dalam menghidupkan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Mampukah hawa nafsu dalam diri ditewaskan sehingga puasa yang ditunaikan bukan setakat menahan lapar dahaga sahaja malah mampu mengawal mata, telinga, lidah, faraj, tangan, kaki dan hidung daripada perkara yang dilarang oleh Allah. Malah mampukah diri ini untuk menunaikan puasa pada tingkat yang paling tinggi iaitu bukan setakat seluruh pancaindera sahaja dapat menjauhi apa yang ditegah oleh Allah malah hati pun turut dapat dikawal daripada maksiat cintakan dunia. Bersyukurkah diri ini kepada Alllah sekiranya keadaan ibadat puasa dan penghidupan kepada Ramadhan hanya dibuat sambil lewa dan tidak pernah ada usaha di dalam meningkatkan kualitinya. Muliakah diri ini sekiranya puasa yang ditunaikan sekadar melepas diri daripada kewajipan yang difardhukan sedangkan segala janji dan kelebihan yang ditawarkan oleh Allah gagal diraih. Mengapa diri ini berpuasa, kepada siapa mahu dipersembahkan ibadat puasa ini samada kepada manusia atau Tuhan Pencipta manusia. Yakinkah diri ini bahawa ibadat puasa yang ditunaikan mampu diterima oleh Allah atau bakal menjadi hamba yang muflis yang hanya membawa ibadat puasa sahaja menemui Allah sedangkan tanpa pahalanya. 

        Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat...Itulah antara kalimah nasihat yang berharga yang keluar daripada mulut junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w. Bila direnung dan difahami betul-betul adakah umat Islam pada hari ini dapat manfaat sihat apabila tibanya puasa Ramadhan. Ramadhan sepatutnya bulan untuk mengurangkan makan agar alat penghadam dalam diri kita dapat berehat sehingga tubuh kita sihat. Betulkah kita telah rehatkan betul-betul alat penghadam itu atau hanya ketika puasa sahaja ia direhatkan sedangkan sewaktu berbuka kita gunakan sebanyak yang mungkin sehingga kadang-kadang melebihi bulan lain. Benarkah kita telah kurangkan makan bila datangnya Ramadhan atau ia dijadikan bulan menjamu selera sehingga makan mewah melebihi bulan lain. Akhirnya bulan Ramadhan hilang hikmatnya apabila umat Islam menjadikannya bulan pesta makanan sehingga belanjawan semakin tinggi dan penyakit semakin banyak. Malangnya bila Ramadhan menyaksikan belanjawan seharian bertambah dan berat badan turut bertambah sedangkan kualiti dan kuantiti ibadat tak bertambah-tambah. Tidak malukah kita bila hanya tahu membawa berat badan dan belanjawan yang bertambah sahaja menemui Allah sedangkan ibadat kita tiada perubahan apatah lagi peningkatan.....

 

 


Selayang Pandang Bil.152  /  1 Ramadhan 1427H
   © Hakcipta Darul Ulum 1427H