Al-Quran Pedoman Berharga 

 

       

           Al-Quran mukjizat berharga bagi umat akhir zaman dalam menempuh kehidupan dunia sementara sebelum menuju negeri akhirat yang kekal selamanya. Al-Quran menceritakan segalanya, memberitahu semuanya, membongkar rahsia kehidupan, merungkai kekusutan, menyelesai segala kepayahan. Berjayalah umat yang menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dalam setiap aspek kehidupan. Betapa malang umat yang menjauhi al-Quran apatah lagi yang melawan dan mempertikai keistimewaan al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Dunia aman tenteram bila al-Quran dilaksanakan. Dunia penuh dengan kebinasaan dan kezaliman serta penindasan bila al-Quran diketepikan. Bergeraklah bersama al-Quran barulah kita berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat. Al-Quran menjadi pemutus antara yang hak dan batil di mana ia bukan keterangan yang olok-olok. Sesiapa jua daripada golongan sombong dan angkuh yang meninggalkan al-Quran akan dibinasakan dan sesiapa yang mencari petunjuk yang lain daripada al-Quran akan disesatkan oleh Allah. Al-Quran merupakan tali Allah yang teguh kukuh dan ialah juga jalan yang lurus. Ialah Kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya maka hawa nafsu seseorang itu tidak akan menyeleweng atau terpesong.

        Al-Quran ubat mujarab, penawar berguna, penyembuh segala masalah manusia bila ia digunakan dengan penuh kebijaksanaan. Sebaliknya jika al-Quran dijauhi, dipertikaikan maka manusia akan menerima segala macam penghinaan dan siksaan daripada Allah di dunia dan akhirat. Betapa hebatnya ilmu dan pemikiran manusia tidak mampu mereka satu surah pun sebagaimana al-Quran walau pun surah yang paling pendek. Sistem yang ada dalam al-Quran tidak mampu ditandingi oleh sebarang sistem dan ideologi ciptaan manusia. Al-Quran semakin dipelajari dan diselidiki semakin banyak ilmu yang didapati dan berjaya dibongkar sehingga ia tidak pernah puas untuk dikaji oleh para ilmuan sejak zaman berzaman. Al-Quran ialah Kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau kesamaran dengan kata-kata makhluk. Dan para ulama’ pula tidak merasa jemu daripada mengkaji isi kandungannya. Keindahan, kemanisan dan kelazatan membaca al-Quran tidak akan susut dan hilang sekalipun ia dibaca berulangkali. Kandungan dan isi al-Quran yang menakjubkan tidak berkesudahan. 

        Keadilan dan kehebatan sistem al-Quran tidak mampu disanggah apatah lagi ditandingi oleh mana-mana sistem ciptaan manusia walau pun manusia yang angkuh itu sentiasa memperlekehkan sistem al-Quran. Demikian juga sesiapa yang memperkatakan sesuatu berdasarkan al-Quran maka benarlah perkataannya. Sesiapa yang beramal dengan ajarannya maka dianugerahkan pahala. Sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hakamnya maka adillah keputusannya. Sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menuruti ajarannya sudah tentu dia dan mereka akan beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus. Inilah antara ciri keistimewaan al-Quran yang kita mesti perakui. Kita bukan setakat yakin dengan kehebatannya tetapi wajib mengamalkannya dalam kehidupan barulah kita benar-benar memiliki ciri-ciri umat yang bertaqwa dan ahli al-Quran

 

 


Selayang Pandang Bil.156  /  22 Zulhijjah 1427H
   © Hakcipta Darul Ulum 1427H