Hijrah DiLaksana Umat Berjaya

 

       

          

        Hijrah suatu kalimah ringkas tetapi penuh makna dan pengertian yang sewajarnya kita mengambil iktibar mengenainya. Makna hijrah itu sendiri antaranya suatu pengorbanan untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang berlandaskan apa yang disuruh oleh Allah dan rasulNya. Hijrah yang terus dituntut kepada umat Islam sehingga hari qiamat ialah berhijrah daripada apa yang dilarang dan ditegah oleh Allah dan rasulNya sepanjang masa dan ketika tanpa mengira tempat dan pangkat. Oleh itu hijrah bukanlah suatu yang cukup hanya sekadar ditutur dimulut sahaja sebaliknya ia menuntut kepada kesungguhan dan komitmen yang tinggi untuk merealisasikannya dalam kehidupan seharian sehingga kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat dapat dicapai. Hijrah bukanlah suatu penghinaan sebaliknya ia merupakan perubahan hidup ke arah yang lebih cemerlang dan unggul. Sehubungan dengan itu maka setiap kesenangan terpaksa menghadapi kesusahan, segala kecemerlangan terpaksa meredah keperitan, segala kejayaan menagih kepada pengorbanan. 

        Manusia memang suka kepada perkara baru terutama jika ia memberi kebaikan dan keuntungan samada untuk jangka masa pendek atau panjang. Begitulah juga dengan kedatangan tahun baru disambut dengan gembira bagi yang mengerti betapa bernilai dan berharganya masa. Manusia yang tahu menilai betapa pentingnya masa sentiasa menggunakan masa sebaiknya untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain. Manakala manusia yang jahil tentang nilai harga masa hanya melihat berlalunya masa tanpa merasa apa-apa. Muhasabahlah diri kita samada kita tergolong dalam golongan yang menghargai masa atau pun tergolong dalam golongan yang menzalimi diri sendiri dengan membuang masa tanpa mengambil kesempatan yang ada. Ingatlah kita bahawa usia dunia dan kita semakin tua dan semakin hampir pada saat kehancuran dan kematian. Apa untungnya kita jika tidak menggunakan umur yang ada untuk menambah bekalan akhirat. Berlalunya masa bersama meningkatnya umur kita di mana ini semua menunjukkan bahawa semakin hari umur kita semakin berkurang dan hanya menunggu hari untuk dijemput bertemu Allah Tuhan Pencipta alam. Bersediakah kita untuk semua ini......

        Sehebat mana pun cita-cita jika tidak diiringi dengan usaha yang bersungguh maka ia hanya tinggal angan-angan kosong yang merugikan. Setinggi mana pun matlamat akan dapat dicapai apabila segala syarat untuk merealisasikannya telah dibuat walau pun terpaksa menghadapi pelbagai kesusahan dan kesukaran. Takut untuk menerima kegagalan merupakan antara punca utama kepada tidak terhasilnya sebuah kejayaan yang diimpikan. Bila kata-kata hanya tinggal slogan maka ia tidak memberi sebarang manfaat kepada kita sebaliknya ia menjadi umpama tong kosong yang kuat bunyinya tetapi kosong isinya. Bila cadangan hanya hebat di atas kertas tetapi tidak dilaksanakan maka sebuah matlamat hebat hanya tinggal menjadi kertas buruk yang menunggu masa untuk mengisi tong sampah. Oleh itu biarlah cita-cita kita dicapai dengan usaha yang berterusan Jadikan matlamat kita terhasil dengan kerja yang tidak mengenal erti kesusahan.

 

 


Selayang Pandang Bil.159  /  28 Muharram 1428H
   © Hakcipta Darul Ulum 1428H