Kenali & Cintai Islam
Islam merupakan agama yang bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia di mana tiada suatu pun sistemnya yang menghina manusia mahu pun yang melampaui kemampuan manusia untuk melaksanakannya. Umat yang benar-benar melaksanakan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka bakal lahir sebagai umat yang pertengahan dalam tindak-tanduk mereka di mana umat ini tidak terlalu lembut hingga mudah dipermainkan oleh musuh dan tidak pula terlalu ganas hingga menggugat keamanan orang lain. Kegagalan dalam menghayati cara hidup berdasarkan apa yang telah disarankan oleh Islam di kalangan umat Islam sendiri telah menyebabkan keindahan dan kehebatan Islam gagal ditonjolkan. Sikap kurang yakin dengan sistem Islam di kalangan umat Islam turut menambahkan lagi masalah yang sedia ada sehingga Islam dipandang seperti agama-agama lain yang wujud di dunia ini yang berbentuk amalan dan kepercayaan individu dan tidak berkaitan dengan sistem kehidupan yang lebih luas. Apa yang lebih malang apabila adanya segelintir umat Islam yang sanggup menghina sistem Islam ditambah dengan masalah adanya umat Islam yang tidak lagi sayang kepada Islam sehingga sanggup murtad keluar daripada Islam tanpa rasa bersalah malah merasa begitu bangga kerana berbuat jenayah yang begitu keji itu.
Islam adalah agama langit yang merupakan satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah. Datangnya Islam daripada Allah Tuhan Pencipta Alam Semesta termasuk diri manusia itu sendiri. Islam bukannya agama rekaan dan bukan juga agama tahyul sebaliknya ia mempunyai sumber rujukan yang kukuh yang tiada sebarang keraguan padanya. Oleh itu sebagai hamba Allah kita wajib memikir dan berusaha bagaimana mahu melaksanakan sistem Islam dalam kehidupan bukannya berfikir bagaimana cara agar Islam itu mengikut akal dan hawa nafsu kita. Kita wajib patuh dan taat pada suruhan serta ajaran Allah dan rasulNya bukannya bertindak mengajar balik Allah dan rasul bagaimana cara terbaik untuk mengurus kehidupan dunia. Kita wajib menjadi umat Islam yang sentiasa berkata kami dengar dan kami patuh wahai Allah bukannya umat yang kurang ajar yang sentiasa berkata kami dengar tetapi kami tidak sama sekali akan kepadaMu wahai Allah. Kita wajib menjadi umat yang sanggup berkorban segala-galanya termasuk menggadai nyawa demi meninggikan kalimah Allah yang suci di atas muka bumi ini bukannya menjadi umat yang lebih rela menggadai agama demi memenuhi tuntutan nafsu syahwat yang menggila dalam diri. Kita wajib menjadi umat yang sentiasa mengagung serta melaksana sistem Islam dalam kehidupan bukannya menjadi umat yang tanpa rasa bersalah menghina dan menentang pelaksanaan sistem Islam. Kita wajib menjadi umat yang mencari kemuliaan hidup di dunia dan akhirat dengan menjulang Islam bukannya menjadi umat yang mencari kehinaan dan kemelaratan hidup dengan sistem ciptaan manusia.
Tak kenal maka tak cinta. Seseorang itu akan memusuhi apa yang dia jahil berkenaan perkara tersebut. Begitulah yang berlaku pada umat Islam sendiri yang jahil berkenaan agama Islam yang dianuti selama ini sehingga ada yang merasai kurang selesa berada dalam agama Islam. Ramai juga di kalangan umat Islam yang sanggup mempermainkan agama dengan mencampuraduk antara tuntutan wahyu dan nafsu, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah, antara dosa dan pahala, antara halal dan haram, antara hak dan batil, antara kebenaran dan kesesatan, antara amalan ahli syurga dan neraka. Akhirnya lahir ramai manusia yang kuat angan-angannya di mana mereka ingin masuk syurga tanpa perlu tunduk pada perintah Allah dan rasulNya dalam setiap tingkah laku mereka. Golongan ini memandang rendah pada dosa, perkara haram kerana itu semua bagi mereka hanya perkara kecil yang tidak mengganggu perjalanan untuk ke syurga. Ingatlah kita bagaimana pesanan nabi dalam sebuah hadis bahawa seorang yangt benar-benar beriman melihat dosa walaupun kecil seumpama gunung yang ingin menghempap dirinya sedangkan seorang yang fajir iaitu suka derhaka kepada Allah sentiasa memandang remeh-temeh pada dosa seperti lalat yang dihinggap pada hidungnya yang boleh dihalau bila-bila masa sahaja. Jika Mat Jenin yang suka berangan hanya jatuh daripada pokok kelapa maka kita bimbang golongan yang kuat berangan masuk syurga tanpa menghiraukan ajaran Allah dan rasulNya akan terjunam ke dalam api neraka Allah yang maha dahsyat lagi menakutkan. Renungilah diri kita dan tanyalah dimanakah kedudukan kita........
Selayang Pandang Bil.165 / 1 Sya'aban 1428H© Hakcipta Darul Ulum 1428H