Bagaimana Raya Kita

 

       

    Setiap kali 1 Syawal menjelma maka wajah-wajah umat Islam seluruh dunia menyambutnya penuh rasa syukur kepada Allah. Namun setiap tempat berbeza adat, budaya dan keadaan sambutan ketibaan hari lebaran ini. Bagi umat Islam yang berada dalam negara yang aman maka biasanya mereka dapat beraya dengan penuh kemeriahan manakala saudara yang menyambut Eidil Fitri di negara yang dilanda peperangan sudah pasti akan menyambutnya dalam keadaan ketakutan. Umat Islam negara aman dapat mendengar bunyi dentuman mercun yang kadang-kadang memakan tuannya sendiri sedangkan di negara peperangan maka mereka diburu oleh dentuman senjata musuh. Eidil Fitri negara aman dipenuhi suara pekikan gembira sedangkan negara peperangan dipenuhi dengan pekikan kesakitan dan kesedihan. Eidil Fitri negara aman dicemari dengan program maksiat yang merupakan senjata musuh Islam secara halus sedangkan hari raya negara peperangan dihujani dengan senjata musuh yang mencari mangsa setiap masa. Hari raya negara aman dipenuhi dengan joget dan tarian yang melalaikan sedangkan saudara di negara peperangan sentiasa berlari menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kepada senjata musuh. Hari raya negara aman di mana umatnya ramai yang mati kekenyangan sedangkan negara peperangan menyaksikan ramai yang mati kelaparan dan menjadi mangsa pembunuhan kejam.

        Sempena menyambut hari raya ini maka tanyalah diri kita samada mengikut lunas yang telah ditetap oleh agama atau tenggelam dalam ulikan hawa nafsu. Adakah kita telah tunduk dalam setiap acara sambutan hari raya kepada setiap arahan Allah Tuhan yang menganugerahkan kita nikmat Eidil Fitri atau sebaliknya. Orang yang mengotori hari raya dengan maksiat seumpama orang yang datang bertandang ke rumah orang tetapi membuat rumah yang diziarahi itu seperti rumahnya sendiri sehingga mendatangkan kemarahan tuan rumah. Orang yang mencemari hari raya dengan amalan yang bercanggah daripada agama seumpama kacang lupakan kulit. Adakah kita telah melakukan apa yang terbaik sempena kedatangan syawal sehingga ia menjadi ibadat yang menambahkan lagi bekalan akhirat kita atau kita tanpa segan silu mengenepikan batasan agama sehingga hari raya kita ditulis sebagai maksiat oleh malaikat raqib atid sehingga ia akan menambahkan lagi dosa yang sedia ada. Ingatlah bahawa letih dan payah buat ibadat tetap menguntungkan kita kerana letih dan penat itu akan hilang sedangkan pahalanya terus kekal. Manakala keseronokan dan kemudahan membuat maksiat ini turut lenyap tetapi dosanya terus akan kita bawa untuk ditimbang atas neraca Allah di akhirat nanti. Pilihlah mana satu yang terbaik samada hari raya penuh ibadat atau hari raya penuh maksiat.

             Marilah kita sama-sama bermusabahah menghitung tentang sambutan hari raya kita. Jamuan hari raya kita samada mengenyangkan golongan yang sedia kenyang atau pun mencapai sasaran sepatutnya iaitu mengenyangkan perut saudara yang miskin dan kelaparan. Duit raya kita samada hanya memenuhi kocek orang yang sudah senang atau mampu mengembungkan kocek saudara kita yang susah dan papa. Rumah kita terbuka untuk orang yang berada atau memang mengalu-ngalukan kehadiran saudara yang faqir. Senyuman manis kita untuk orang yang bergaya sahaja atau bertambah manis bila memandang kepada orang yang rezekinya tidak semudah kita. Adakah kita hanya berseronok dengan rakan yang berharta sahaja atau pun lebih meraikan saudara yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Adakah hari raya kita dikhususkan untuk orang yang setaraf dengan kita sahaja atau lebih meraikan golongan yang lebih susah daripada kita. Ingatlah pesanan rasul junjungan bahawa orang yang teruk akhlaknya ialah orang yang tidur kekenyangan sedangkan jirannya tidur kelaparan. Tepuklah dada tanyalah amalan kita........

 

 


Selayang Pandang Bil.173 /  1 Syawal 1428H
   © Hakcipta Darul Ulum 1428H