MATLAMAT IBADAT PUASA

 

 


  Oleh : Ustaz Ahmad Shairazi bin Hj Atiqullah

 

Puasa Ramadhan merupakan antara ibadat khusus yang termasuk dalam rukun Islam yang wajib ditunaikan. Antara tujuan kewajipan berpuasa adalah bagi melahirkan umat Islam yang bertaqwa kepada Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

183  سورة البقرة :

يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

 

Taqwa merupakan suatu kalimah yang mudah disebut dimulut tetapi susah untuk dilaksanakan dalam diri. Maksud taqwa   sebagaimana yang diberitahu oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu

 

Antara ciri orang bertaqwa ialah sentiasa melakukan apa yang diperintah oleh Allah dan dalam masa yang sama sentiasa menjauhi segala tegahanNya. Ingatlah kita bagaimana orang Mukmin sentiasa melihat dosa seumpama gunung yang mahu menghempap diri sehingga dia bimbang untuk mendekatinya sedangkan orang munafik sentiasa melihat dosa sebagai suatu yang kecil tidak lebih seperti lalat yang hinggap di atas hidungnya di mana ia boleh dihalau dengan mudah.

 

Bagi melahirkan umat yang bertaqwa maka antara usaha yang terbaik ialah melalui ibadat puasa di mana ia boleh melemahkan nafsu sehingga diri lebih mudah untuk mengerjakan ibadat. Walau pun iblis dan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan namun sahabat karibnya terus wujud dalam diri kita iaitu nafsu. Kita sentiasa ingat bahawa dalam diri manusia adanya dua perkara yang tidak pernah tua walau pun seseorang itu telah lanjut usianya iaitu nafsu dan angan-angan.

عن صفية : قال النبي e : إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَجْرِيْ مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ فَضَيِّقُوْا مَجَارِيَهُ بِالجُوْعِ  -  رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar

 

         Umat Islam yang benar-benar bertaqwa kepada Allah sentiasa menunaikan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan kepada Allah tanpa ada rasa keinginan untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia berpuasa apatah lagi ibadat puasa susah untuk dizahirkan dan ibadat puasa juga ada keistimewaannya tersendiri dari sudut ganjarannya daripada Allah.

عن أبي هريرة : قال النبي e : كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَاِلهَا إِلىَ سَبْعِمِائَةٍ ضِعْفٍ إَلا الصِّيَامُ فَإِنَّهُ لِىْ وَأَناَ أَجْزِي بِهِ     - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Setiap amalan baik pahalanya 10 kali sampai kepada 700 kali selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagiku dan aku sendiri akan membalasnya

 

Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar menjaga kesihatan bagi memastikan setiap gerak kerja dapat dilaksanakan dengan baik terutama ibadat khusus. Oleh itu kewajipan puasa antaranya bagi mememastikan kesihatan umat Islam dapat dijaga dengan baik.

قال النبي e : صُوْمُوْا تَصِحُّوْا

Maksudnya : Berpuasalah nescaya kamu sihat.

 

         Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam.

عن أبي هريرة: قال النبي e : الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ-  رواه  ابن ماجه

Maksudnya : Puasa itu sebahagian daripada sabar

عن ابن مسعود: قال النبي e : الصَّبْرُ  نِصْفُ  الإْيمَانِ-  رواه  أبو نعيم

Maksudnya : Sabar itu sebahagian daripada iman

 

         Umat Islam yang bertaqwa turut menjaga kualiti ibadat puasanya agar ia diterima oleh Allah. Kita tidak mahu menunaikan ibadat semata-mata menahan diri daripada makan minum serta perkara yang membatalkan puasa sahaja sedangkan anggota lain seperti hati, mata, lidah, telinga terus bergelumang dengan maksiat yang menggugat kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Ingatlah kita kepada peringatan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang berbunyi

عن أبي هريرة: قال النبي e : كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صَوْمِهِ إِلا الْجُوْعُ وَالْعَطَشُ-  رواه النسائي وابن ماجه

Maksudnya : Betapa ramai orang yang berpuasa yang tiada baginya daripada hasil puasanya itu selain lapar dan dahaga

 


 

© Hakcipta AKI 2004